Satu isu yang panas! Ia bertebaran ke serata dunia. Kota cinta Paris di kecam hebat oleh kaum hawa yang rata-rata memperjuangkan haknya. Terlihat sana-sini demonstrasi jalanan dilakukan, malah di laman sosial juga debat tentang isu global ini hangat diperkatakan. Puncanya hanya satu iaitu larangan memakai burkini atau baju renang Muslimah. Sebenrnya isu ini bukanlah perkara baru. Cetusan fesyen ini diperoleh setelah ramai wanita Islam sedar akan tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslimah sejati. Namun, undang-undang yang dicipta menyatakan perkara itu satu kesalahan dan ia mencetus tanda tanya, di manakah salahnya? Ikuti kupasan global ini dari kaca mata HIJABISTA.

Istimewa Burkini

Tindakan dan undang-undang ini mencetuskan perdebatan hangat, di mana masyarakat Islam menyifatkan ia tidak berperlembagaan, memecahbelahkan dan fobia kepada Islam. Namun hakikatnya, inilah antara perkara yang harus dilalui oleh masyarakat Islam di Perancis. Masyarakat Islam di sana harus melalui pelbagai undang-undang dan sentiasa akan dipandang sinis dan pelbagai ancaman diberikan oleh masyarakat di sana.

Burkini adalah singkatan bagi burqa dan bikini yang direka untuk wanita Islam bagi menutup aurat mereka ketika berenang, kecuali muka, tangan dan kaki. Ia direka seorang wanita Australia iaitu Aheda Zanetti pada tahun 2003. Pereka ini telah memperkenalkan satu siri rekaan pakaian sukan mengikut kehendak agama dan burkini mula muncul di pantai Perancis sekitar 2008.

“Perancis ketinggalan dalam fesyen Islam,” kata pengasas bersama jenama Fringadine, Helene Agesilas pada Mac lalu, apabila Marks & Spencer serta Uniqlo mula memasarkan pakaian Islam sehingga mencetuskan kontroversi di Perancis. Agesilas berkata, pasaran pakaian Islam di seluruh dunia mencecah $230 bilion pada 2014 dan mampu mencecah $320 bilion pada 2020.

Sejak isu larangan ini, dikhabarkan permintaan terhadap burkini ini melonjak-lonjak. Bukan sekadar wanita Islam yang membelinya, malah orang yang bukan Islam juga turut menyatakan rekaan ini sangat sopan dan selesa digayakan di tempat umum.

Laporan dari CNN memberitahu penahanan 10 orang wanita Islam yang memakai burkini di Cannes mencetuskan kontroversi kerana ramai menyatakan di manakah salahnya memakai pakaian sedemikian rupa? Dek kerana ketegangan yang berlaku berpunca daripada serangan militan di Nice yang meragut 85 nyawa pada hari Bastille, Julai tahun lalu, undang-undang ini terus dilaksanakan. Tanpa ada rasa simpati mereka akan menyaman atau meninggalkan pantai dengan segera.

Manakala New York Post pula menyebut, Datuk Bandar Cannes, David Lisnard turut menyifatkan pemakaian burkini adalah lambang pelampau eskstremisme. Ia bagaikan satu tamparan hebat buat masyarakat Islam di seluruh dunia. Dek kerana terlalu banyak halangan dan demonstrasi dijalankan, Perancis akhirnya mengetepikan dahulu soal burkini ini dan akan mengkaji semua larangan tersebut

Pandangan HIJABISTA

Pandangan HIJABISTA berhubung isu ini ialah pemakaian burkini perlulah diwajibkan di kalangan masyarakat Islam. Rekaan pakaian renang ini penuh santun dan menutup aurah. Jika dahulu, setiap kali ke kolam renang, wanita Muslimah akan rasa janggal dan rasa terpinggir. Kini, dengan adanya burkini, mereka bebas berenang bersama keluarga.

Namun, dinasihatkan tika membeli burkini ini, pilihlah saiz dan rekaan yang longgar agar memenuhi syariat kerana fabriknya agak elastik. Mungkin dek kerana harganya agak mahal menyebabkan tidak ramai Muslimah mampu memilikinya. Namun percayalah, pakaian renang ini walaupun harganya mahal namun ia berbaloi untuk dimiliki dan tahan lama.

Tidak terkesan di Malaysia

HIJABISTA berkesempatan meminta pandangan seorang pengusaha baju renang Muslimah yang memberitahu, impak isu tidak begitu terkesan di Malaysia kerana masyarakat di sini memang tahu adat dan budaya tika berada di kolam renang atau pantai.

“Isu ini adalah isu Islamophobia dan kurangnya ilmu mengenai Islam itu sendiri oleh orang bukan Islam. Sejak diserang oleh pihak ISIS melalui peristiwa pengeboman dan serangan ke atas orang awam di sana semua orang menjadi musuh  secara langsung atau tidak langsung kepada Islam secara umum dan penganut Islam itu secara khusus.

“Ditambah pula di Perancis itu sendiri mempunyai isu yang sudah lama imigran-imigran yang berasal dari Arab atau Afrika yang kebanyakannya adalah Muslim memburukkan lagi keadaan. Menggunakan alasan wanita itu harus bebas berpakaian dan tidak menyembunyikan mana-mana bahagian tubuh hanyalah alasan yang dicipta untuk menghalalkan pengharaman tersebut. Nyata telah mencetus kepada kebencian terhadap agama Islam itu sendiri dan diskriminasi terhadap wanita Muslim yang ingin mengamalkan apa yang dianutinya,” ujar pemilik Haleema Muslimah Swimwear, Halimatus Ismail memberikan pendapat.

Menurutnya, kesan pengharaman ini jika diambil  dari sudut yang positif ianya memberi ruang yang lebih besar kepada pengenalan burkini itu sendiri ke seluruh dunia.

“Mungkin selama ini orang bukan Islam malahan orang Islam sendiri pun tidak mengetahui wujudnya burkini ini tetapi sekarang mereka sudah tahu ada pakaian begitu di pasaran. Daripada segi permintaan di Malaysia khususnya, sebenarnya tiada kaitan secara langsung peristiwa tersebut sebab pada ketika ini pun sudah ramai wanita Muslim di luar sana yang sudah tahu kewujudan dan kepentingan menutup aurat di khalayak umum dan mereka berusaha mencarinya. Malahan orang bukan Islam juga mencari pakaian sebegini yang kelihatan lebih sopan ketika berada di dalam kolam awam,” tambahnya lagi.

Namun begitu baginya sambutan baju renang Muslimah malahan untuk yang Muslim juga menunjukkan peningkatan ketara sejak dua hingga tiga tahun ini. “Banyak juga badan-badan korporat, sekolah, universiti dan badan berkanun yang menjadikan berenang ini sebahagian daripada aktiviti rutin menambahkan kepada kemeriahan pasaran baju sebegini. Pakej-pakej percutian yang kebanyakannya akan lebih menyeronokkan dengan adanya aktiviti air juga menyebabkan permintaannya kepada pakaian renang menjadi tinggi.

“Di samping itu, kolam-kolam renang juga kebanyakan mewajibkan penggunaan pakaian  renang yang sesuai menjadikan pakaian renang adalah satu kemestian sekiranya ingin berenang. Kesedaran umat Islam sekarang tentang kepentingan dan kewajiban menutup aurat tidak kira di mana juga dan apa juga aktiviti kita  adalah sesuatu yang sangat positif untuk pembekal baju renang Muslimah,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Laporan media:

  1. Sinar Harian
  2. The New York Times 
  3. BBC Indonesia
  4. The Malay Mail Online
  5. The Star online
  6. CNN