PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berharap umat Islam menjadikan bacaan al-Quran sebagai budaya seperti akhbar harian.

"Kita mahu lihat al-Quran sentiasa melekat di hati umat Islam, seperti mana setiap individu menjadikan akhbar sebagai bahan bacaan harian,” katanya berhubung penganjuran World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour pada 31 Ogos ini.

Menurutnya, kedua-dua program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) itu bakal membawa makna besar, kerana ia bertujuan memberi galakan kepada umat Islam agar sentiasa membaca al-Quran, seterusnya memahami dan mengamalkannya sebagai panduan kehidupan.

“Jakim selaku penaung program World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour menyokong penganjuran program ini kerana ia dilihat sebagai satu usaha untuk menyedarkan umat Islam supaya menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu budaya yang dilakukan setiap hari.

“Malah, kita percaya program ini bukan hanya bakal memberi impak kepada masyarakat Islam supaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran, tapi ia turut memberi persepsi betul terhadap amalan membaca al-Quran,” katanya kepada pemberita satu sidang media, semalam.

Dalam memastikan sambutan ini  berjalan lancar, HIJABISTA turut menyahut saranan bagi melengkapi acara ini dengan kempen bacaan Surah Yasin yang juga akan diperdengarkan dalam majlis itu nanti.

Kali ini dibacakan oleh gadis hijabi yang dilabel New Ummah dalam membacakan beberapa potongan dari surah ini yang terpilih.

Seperti yang kita tahu Surah Yasin mengandungi banyak fadilatnya.  Salah satu adalah daripada potongan ayat ke 11 yang di baca oleh Nurul Nabilah Mohd Daud dengan bacaan tersendiri.

Maksud ayat ini:

Katakanlah: “Sesungguhnya peringatan (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran al-Quran serta dia takut dan semasa dia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu, sampaikanlah kepadanya berita yang menggembirakan dengan kesempurnaan dan pahala yang mulia”.

Kelebihan ayat 11 ini adalah untuk menghilangkan perasaan takut Boleh diamalkan dengan nawaitu yang baik dan bacaan ikhlas sepenuh hati. Insya-Allah

Wallahualam

p/s: Bacaan ayat Al-Quran oleh Nurul Nabilah Mohd Daud, ini adalah sempena menyokong kempen World #QuranHour yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas. Ustaz Mohamad Amiro yang turut menyokong video ini dan berkata mudah-mudahan memberi semangat kepada orang lain untuk turut mengaji. Salah silap sedikit itu adalah biasa dalam bacaan dan jika sudah belajar, insya-Allah sebutan akan semakin lancar.

SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE