Esok hari, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha dan melakukan ibadah korban setelah selesai melaksanakan solat sunat Aidiladha.

Sebelum anda menyambut perayaan ini dan menjalani ibadah korban, anda perlu tahu 5 perkara ini terlebih dahulu.

 

Pengertian Korban

Perkataan korban itu sendiri bermaksud mendekati atau menghampiri. Dari sudut istilah, perkataan ‘korban’ itu bermaksud segala sesuatu yang digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah sama ada berupa haiwan sembelihan atau yang lain.

 

Hikmah & Fadhilat Ibadah Korban

1.    Mendidik jiwa ke arah taqwa dan mendekatkan diri pada Allah Taala.

2.    Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati yang mahu berbelanja harta ke jalan Allah Taala.

3.    Menghidupkan sunah Nabi Ibrahim a.s.

4.    Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia antara orang yang berkemampuan dan orang yang tidak berkemampuan.

5.    Menghapuskan dosa dan mengharapkan keredaan Allah Taala.

 

Hukum Melakukan Ibadah Korban

Hukum melakukan ibadah korban adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut. Makruh hukumnya jika seseorang yang mampu tidak melakukannya. Hukum korban menjadi wajib sekiranya seseorang itu telah bernazar untuk melakukannya. Jika tidak dilakukan, jatuh haram.

 

Syarat Sah Korban

Haiwan yang dikorbankan itu harus berada dalam keadaan yang sempurna tanpa kecacatan yang nyata dan megurangkan daging atau memudaratkan kesihatan. Ibadah kurban harus dilakukan dengan niat.

 

Perkara Sunat Ketika Korban

1.    Membaca bismillah.

2.    Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w

3.    Menghadapkan binatang ke arah kiblat

4.    Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya

5.    Membaca doa yang bermaksud: “Ini adalah nikmat daripadaMu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya.”

SUMBER: tazkirah.net